Sunday, May 16, 2010

cerita..cerita..

SIRI FALSAFAH HAIWAN
Pengajaran Untuk Manusia _ Kenapa Pungguk Rindukan Bulan?

Minggu ini saya menyaksikan pembentangan yang boleh dikatakan mantap dari satu kumpulan pelajar lelaki. Yang menarik perhatian kami pada hari itu adalah apabila kumpulan pelajar lelaki ini mengusulkan satu modul yang dinamakan modul "Burung Hantu." Ketika pembentangan modul tersebut berjalan, Dr Habib mencelah.....

"Kenapa pilih Burung Hantu? Kenapa tidak Burung Pungguk?"

Soal beliau kepada kumpulan tersebut sambil melemparkan senyuman di muka... "Kami memilih nama Burung Hantu kerana modul yang kami nak terapkan kepada pelajar sasaran kami nanti adalah berobjektifkan kepada melahirkan pelajar yang berani. Aktiviti ini akan dijalankan pada waktu malam . Itu sebab kami pilih nama modul ini Burung Hantu kerana burung ini sememangnya suka keluar pada waktu malam." Jawab seorang wakil kumpulan mereka dengan yakin.

"Jadi apa kaitan dengan hujah kamu tadi yang mengatakan untuk menerapkan elemen keberanian?"

Telah Dr Habib lagi. Dr.Habib ni seorang yang jenis suka mencetuskan soalan provokasi. Beliau pernah memberitahu kami supaya berhati-hati dengan setiap soalan yang dikemukakannya nanti. Caranya memang pelik dari pensyarah lain.

"Burung Hantu ini adalah simbolik kepada suasana takut dan menyeramkan kerana tabiatnya yang hanya suka keluar malam. Ujian keberanian ini akan dibuat pada waktu malam. Jadi, kami sengaja mengatur modul ini pada waktu malam untuk menguji keberanian peserta nanti".

"Kalau Burung Pungguk tak boleh ke?Burung Pungguk pun kuar malam gak".

Dr. Habib terus mencetuskan provokasi. Gelabah pembentang itu saya tengok. Belajar dengan Dr Habib ni kena 'pick-up' sikit otak, baru dapat jawab. Memanglah persoalan untuk meletakkan nama modul itu satu persoalan remeh sahaja. Tapi tegas Dr Habib, beliau sengaja berbuat demekian kerana ingin melatih pelajar cara menjawab dengan kritis dan spontan tetapi tepat serta padat. Itulah Dr Habib yang mempunyai jiwa pendidik sejati!

Saya tertarik dengan cadangan Burung Pungguk yang dikatakan Dr Habib tadi. Saya cuba mencari apa falsafah yang ada pada burung tersebut. Sebelum ni saya ada hasilkan artikel Burung Helang. Sememangnya saya suka perhatikan apa yang terdapat di sekeliling. Daripada pemerhatian itu, saya akan cuba mencari sesuatu yang positif darinya. Bagi saya, setiap benda yang dihamparkan di depan kita adalah ilmu yang sangat berguna untuk kehidupan manusia. Kejadian yang dijadikan Allah sama ada haiwan, tumbuhan dan setiap kejadianNYA adalah pelengkap kepada kehidupan manusia. Cuma kekadang manusia itu sombong dan bongkak kerana merasakan hidupnya sudah sempurna. Allah pun kekadang dilupakannya... Jauh lagi untuk dirindukan..

Ada apa pada burung Pungguk ni ya? Soal saya dalam hati. Saya mengelamun seketika. Sifat burung Pungguk ini sangat istimewa sekali. Asal munculnya bulan, pungguk pun muncul. Dirinya sangat setia pada sang bulan. Kesetiaannya itu telah dijadikan peribahasa orang melayu kita. Siapa yang tidak pernah mendengar kata-kata 'bagaikan pungguk rindukan bulan". Peribahasa ini cukup dikenali ramai. Tetapi tidak ramai yang cuba mencari rahsia yang ada pada peribahasa tersebut untuk kekuatan diri. Saya cuba mentafsirkan maksudnya itu. Sifat 'setia' yang ada pada pungguk ini memang mencabar jiwa orang Islam seperti saya. Kalau pungguk amat setia dengan sang bulan, kenapa tidak orang Islam setia pada agamanya? Saya terus mengalamun...

Hari ini Islam semakin dipermainkan. Betapa ramai manusia yang mengaku dirinya orang Islam, tetapi tidak mengamalkan apa yang diajar dalam agamanya. Perintah sembahyang untuk setiap orang Islam yang baligh, tidak dikerjakan. Apa lagi perintah-perintah yang lain.

Saya teringat kepada seorang kakak yang saya pernah jumpa sewaktu menghadiri kursus usahawan sebelum ini. Beliau seorang yang mesra dan mudah diajak berbual. Penampilannya cukup bergaya dan kemas tetapi tidak bertudung. Orang putih kata "free hair". Saya kemudian cuba bertanyakan pandangannya tentang pemakaian tudung. Jawabnya, tudung ni adalah sebagai 'bebanan' kepada dirinya. Katanya kalau pakai tudung, nampak tak cantik. Jadi elok sahaja tak pakai. Katanya lagi, orang bisnes macam dia perlu ada tarikan supaya ramai yang mudah berdamping dengannya nanti. Maka dibiarkan sahaja rambutnya menyentuhi bahu. Mungkin itulah yang dibanggakannya...

Cukup dangkal dan cetek pandanganya. Saya sedih kerana terbukti bahawa kata-kata sindir musuh Islam yang mengatakan Islam kita pada hari ini adalah kerana mak dan ayah kita juga Islam sudah terbukti di depan mata saya ketika itu. Langsung tidak ada sifat setia pada agama. Kalau hari ini Islam tidak dibela oleh umatnya sendiri, maka siapa lagi yang kita boleh harap untuk membela agama mulia dan direstui Allah ini? Sifat setia pada agama ini telah ditunjukkan oleh baginda Nabi Muhammad sendiri. Walaupun dijamin dengan kehidupan Syurga, namun baginda sendiri pernah berdepan dengan cabaran dan ujian dari musuh-musuh Islam ketika itu.

Sifat setia baginda dan para sahabat ini memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Pernah suatu ketika baginda ke Taif ketika mana penduduk Makkah tidak menerima seruan suci itu. Manusia yang dimuliakan Allah ini 'disambut' kehadirannya dengan balingan dan lontaran batu serta objek-objek tajam yang mencederakan baginda. Begitu juga sifat setia yang ditunjukkan oleh sahabat baginda terhadap agama dan perjuangan Islam ini. Seorang sahabat yang bernama Ka'bab Ibnu Al-Arq pernah dicucuk dengan besi tajam di belakang beliau. Begitu juga kisah Bilal Ibn Rabbah yang ditindih dengan batu yang berat di tengah padang pasir yang teramat panas. Namun akidah dan keimanan mereka langsung tidak tergugat. Setia sungguh para sahabat dengan perjuangan Islam ini...

Pengorbanan baginda dan sahabat ini tidak lain tidak bukan adalah demi membela agama Islam yang mulia ini. Pengorbanan yang ditinggalkan oleh baginda Nabi ini harus diteruskan oleh kita umat Islam. Kalaulah Nabi sendiri pernah patah gigi dalam membela agama Islam ini, maka di manakah kita hendak meletakkan muka kita pada hari ini? Usah hendak bercakap tentang membela agama, kalau kita sendiri yang mempermainkan agama sendiri. Jangan kita marah kalau penganut agama lain mentertawakan kita hari ini.

Malulah pada sang pungguk. Tidak ada akal seperti kita manusia, tetapi punya naluri setia yang cukup sensitif. Pungguk sentiasa rindukan bulan. Ditunggunya bulan bila hendak muncul kerana ia tahu bahawa dirinya sangat setia pada bulan. Mungkin kelakuan pungguk ada maknanya. Mungkin pungguk tidak sehebat manusia kerana pungguk itu tahu ia bodoh kerana akal tidak diberikan kepadanya. Pungguk pasti tahu manusia itu lebih hebat daripadanya. Itu kenyataan dan fitrah kejadian Allah kepadanya. Tetapi pungguk seakan ingin mengajar manusia, bahawa ia yang bodoh itu pun tahu erti kesetiaan dan perjuangan. Berjuang setiap malam untuk menunggu sang bulan. Tetapi sesekali pungguk tunduk kesedihan melihat agama Islam tidak dirindui oleh penganutnya sendiri.

Pungguk bertekad, ia akan sentiasa menunjukkan kelakuannya yang sentiasa rindukan bulan. Padanya, biarlah manusia itu mengerti akan maksud perbuatannya itu...Kalaulah manusia susah sangat mengerti, pungguk berharap akal kepunyaan manusia itu diberikan kepadanya agar mampu ia mengajar manusia erti kesetiaan..

No comments:

Post a Comment